CEO AirAsia dipilih usahawan EOY 2006
Oleh Nor Liza Ahmad dan Shahrizan Salian
Tony Fernandes wakili negara ke Monte Carlo Mei depan
KETUA Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Tony Fernandes dipilih sebagai Usahawan Tahunan Ernst & Young (EOY) Malaysia 2006, sekali gus akan mewakili negara di pemilihan peringkat dunia anugerah itu di Monte Carlo Mei tahun depan.
Beliau dipilih daripada 16 tokoh usahawan tempatan lain yang disenarai pendek, semuanya adalah pemimpin dalam industri masing-masing.
Di Monte Carlo, beliau akan bersaing dengan 40 tokoh usahawan dari seluruh dunia bagi merebut Anugerah Tahunan Dunia E&Y.
Di samping anugerah utama itu, Tony juga dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Master.
Selain anugerah utama dan Anugerah Usahawan Master, kategori lain yang turut dipertandingkan dalam anugerah berprestij anjuran firma perakaunan antarabangsa itu ialah Usahawan Baru, Usahawan Teknologi dan Usahawan Wanita.
Bagi kategori Anugerah Usahawan Baru, ia dimenangi Kenny Goh Chee Ken dan Henry Goh Chee Heng daripada Macro Kiosk Bhd, manakala Simon Loh Wee Hian daripada e-Pay (M) Sdn Bhd pula dinamakan sebagai Usahawan Teknologi Tahunan.
Nafisah Radin daripada NR Architect pula dipilih sebagai pemegang Anugerah Usahawan Wanita.
Anugerah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama pada majlis itu ialah Rakan Kongsi Pengurusan Ernst & Young Malaysia, See Huey Beng, Pengerusi Ernst & Young Malaysia, Datuk Dr Abdul Samad Alias, dan Rakan Kongsi Urusan Ernst & Young Far East, Michael Boyd.
Berita Harian ialah rakan media anugerah itu. Turut menjayakan anugerah itu ialah Bursa Malaysia Bhd, Affin Investment Bank Bhd, Woo Hing Sdn Bhd, YTL Corporation Bhd dan Pertubuhan Usahawan Malaysia.
See berkata, penyampaian anugerah itu adalah kemuncak setelah melalui sesi temubual dan pengadilan selama berbulan-bulan yang dilakukan oleh panel juri bebas.
“Kami sangat berbangga dalam memainkan peranan bagi anugerah ini dan akan terus meraikan kejayaan individu menjadikan impian mereka satu kenyataan.
“Memilih pemenang anugerah ini adalah satu cabaran yang hebat bagi panel juri kerana setiap usahawan yang dicalonkan adalah pemenang dalam bidang masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Fernandes memulakan kerjayanya dengan Virgin Group sebelum menyertai Warner Music International di London.
Ketika berusia 27 tahun beliau kembali ke Malaysia bagi mengetuai Warner Music Malaysia selama 12 tahun.
Bagaimanapun, keinginan untuk menjadi usahawan menyebabkan beliau dan tiga lagi rakan kongsi mengambil alih operasi syarikat penerbangan AirAsia Sdn Bhd daripada DRB-Hicom Bhd menerusi Tune Air Sdn Bhd, pada Disember 2001 dengan menerapkan pendekatan penerbangan tambang murah pertama di Asia.
